Saturday, March 28, 2009

Mesyuarat Agong Pertama GB4B KBB


KULIM -Gerakan Belia 4B Kulim Bandar Baru, (GB4B) menganjurkan satu mesyuarat agung tahunannya yang pertama dan taklimat mengenai pakej rangsangan ekonomi kepada ahlinya di sini.

Mesyuarat berkenaan adalah mesyuarat gerakan belia yang pertama kalinya dianjurkan bagi daerah ini selepas didaftar di bawah pertubuhan persatuan.

Pengerusinya, Mohd Norzahari Zakaria berkata, dengan status baru sebagai persatuan untuk golongan belia di daerah ini GB4B KBB berhasrat merealisasikan harapan kerajaan agar belia di kawasan ini dapat dibimbing dan diasuh menjadi pemimpin untuk masa hadapan.

Menurutnya, dengan program yang dirangka dan bakal dijalankan sepanjang tahun ini diharap akan lahir golongan belia yang cemerlang dan berdaya saing.

“Hari ini kita ada lebih 30 perwakilan yang merupakan pengerusi dan jawatankuasa persatuan GB4B dari seluruh Kulim dan Bandar Baru hadir mewakili ahli mereka.

“Perbincangan utama mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan program yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun ini, antaranya program Perkhemahan Jati Diri Bangsa dan Program Kesukanan Antara Persatuan ,”katanya.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bandar Baharu, Fariza Ghazali.

Norzahari berkata, selain berbincang mengenai pergerakan belia ini sepanjang tahun ini, taklimat mengenai pakej rangsangan ekonomi turut diberikan.

Katanya, penerangan dan maklumat mengenai pakej itu perlu disampaikan kepada wakil belia memandangkan secara kasarnya, kebanyakan peruntukan disalurkan untuk golongan belia.

“Setiap wakil kawasan perlu diberi maklumat mengenai pakej rangsangan ekonomi terutamanya yang melibatkan golongan belia.

“Jadi sebagai wakil mereka perlu ada maklumat mengenai program untuk golongan belia di bawah pakej ini kerana masih ramai yang tidak memahami mengenainya,“ katanya.


Artikel Sinar Harian 28hb March 2009

No comments:

Post a Comment