Wednesday, February 11, 2009

800 belia Kedah sertai jati diri kesukarelaan






KULIM- Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kedah membelanjakan sebanyak RM490,000 daripada peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan Program Jati Diri Kesukarelaan Nasional (PJKN) terulung di negeri tersebut baru-baru ini.

Timbalan Pengarah JBS, Fadzil Yahaya berkata, seramai 800 belia dari seluruh negeri terpilih mengikuti lima siri program tersebut yang dianjurkan beberapa pertubuhan belia.

Katanya, KBS telah memberi kepercayaan penuh kepada pertubuhan terbabit setelah yakin dengan tahap integriti dan pengurusan profesional organisasi berkenaan.

"Antara pertubuhan yang diberikan kebenaran menganjurkan PJKN ialah Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK), Persatuan Belia 4B Kampung Bayas, Langkawi dan Persatuan Belia Sungai Tiang, Pendang.

"Kesemua badan berkenaan menganjurkan PJKN dengan cemerlang dan mematuhi kehendak KBS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program anak angkat PJKN di Desa Keda Nagalilit, dekat sini baru-baru ini.

Seramai 140 peserta PJKN di bawah kelolaan MBNK dipilih menjayakan program tersebut bersama 72 keluarga angkat masing-masing di kampung berkenaan.

Menurut Fadzil, PJKN merupakan program alternatif yang diwujudkan khas oleh KBS dalam usaha memberi peluang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak terpilih mengikut Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

"Matlamat utama PJKN adalah menyediakan golongan belia berperibadi unggul, berkemahiran dan mampu memimpin diri ke arah menjadi warganegara cemerlang dalam kerjaya," katanya.

Tambah beliau, PJKN menyediakan lima modul teras iaitu pembinaan jati diri, pembinaan kepimpinan, pembinaan kesukarelaan, pembinaan pembinaan pendidikan dan kemahiran, kerjaya dan keusahawanan.

Dalam pada itu, Pengarah Projek PJKN-MBKN, Ku Mohd. Rashidi Ku Mat Esa berkata, pertubuhan tersebut berbangga kerana dapat memberi sumbangan terhadap usaha mengukuhkan lagi integrasi nasional kerana peserta PJKN terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kita berjanji terus memberikan kerjasama dan komitmen penuh kepada KBS menjayakan pelbagai program untuk manfaat golongan belia pada masa akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment